ADAKAH anda tahu, 50 peratus penduduk di seluruh dunia mengalami buasir dan sebanyak 40 peratus telah mengalami gejala-gejala penyakit ini sepanjang hayat mereka?
Dengan peratusan tersebut, ia menunjukkan bahawa buasir merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh ramai orang walaupun ia jarang dibincangkan.
Buasir atau nama saintifiknya hemoroid merupakan keadaan bengkak dan inflamasi di pembuluh darah serta tisu di sekeliling bahagian anus (dubur) dan bahagian penghujung rektum (bahagian akhir usus besar).
Ia terjadi apabila pesakit meneran ketika membuang air besar atau berlakunya tekanan yang berterusan ke atas pembuluh-pembuluh darah di bahagian tersebut.
Menurut Pengurus Negara bahagian farmaseutikal,The Himalaya Drug Company, K. Chandrasekaran, terdapat lebih kurang separuh daripada orang dewasa yang berumur sekitar 50-an mengalami rasa gatal-gatal, pendarahan dan kesakitan di bahagian anus yang merupakan tanda-tanda awal buasir akan berlaku.
''Sebenarnya penyakit ini akan menyerang hampir semua orang tanpa mengira bangsa dan jantina.
''Pada masa yang sama, wanita yang mengandung merupakan golongan yang mudah terdedah dengan penyakit ini dan dijangka kira-kira satu daripada tiga ibu baru mengalaminya.
''Manakala bagi rakyat Malaysia satu nisbah tiga daripada golongan dewasa akan mengalami buasir sepanjang hayat mereka,'' ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas beliau lagi, buasir terbahagi kepada dua iaitu dalaman dan luaran.
Menurutnya, seseorang itu tidak boleh melihat atau berasa buasir di bahagian dalaman tetapi apabila meneran sewaktu membuang air besar, permukaan buasir yang lembut akan tercedera dan mengakibatkannya berdarah.
Mereka akan terlihat beberapa titik darah merah pada tisu tandas atau dalam mangkuk tandas.
Disebabkan membran anus dalaman tidak mempunyai saraf fiber yang peka terhadap rasa sakit, pesakit jarang mengalami rasa tidak selesa atau kesakitan.
Tetapi, pesakit mungkin akan mengalami rasa 'penuh' di dalam rektum selepas membuang air besar kerana ada ketikanya, apabila meneran, ia akan menolak keluar buasir dalaman melalui pembukaan di anus.
Jika buasir itu prolaps (atau terkeluar dari kedudukan asalnya), pesakit akan berasa sakit dan tidak selesa.
Sementara itu, bagi pesakit yang mengalami buasir luaran pula, mereka akan mengalami rasa sakit.
Kadangkala, darah yang terkumpul di dalam buasir luaran ini akan membeku (trombus) dan mendatangkan rasa sakit yang keterlaluan, pembengkakkan dan inflamasi.
Apabila iritasi berlaku, buasir luaran boleh mengakibatkan pesakit mengalami kegatalan atau pendarahan.
Selain itu, buasir juga boleh dikategorikan kepada empat tahap iaitu tahap satu, dua, tiga dan empat dengan ciri yang berbeza-beza.
Untuk tahap satu hingga tiga, pesakit masih lagi boleh menggunakan ubat sapuan atau pil untuk mengurangkannya tetapi bagi buasir tahap keempat, ia hanya boleh disembuhkan melalui pembedahan.
Tambah Chandrasekaran lagi, lazimnya buasir disebabkan diet dan gaya hidup tidak sihat serta tabiat tandas yang buruk.
Bukan itu sahaja, duduk atau berdiri terlalu lama seperti di tempat kerja atau memandu secara berpanjangan juga akan meningkatkan risiko berlakunya buasir.
''Untuk itu, pengambilan makanan berserat tinggi seperti sayur-sayuran dan buah- buahan dapat membantu penghadaman dan mengurangkan risiko penyakit usus seperti buasir,'' ulasnya lanjut.
Beliau turut menasihati agar pesakit berjumpa doktor sekiranya buasir yang dialami tidak pulih melalui penjagaan kebersihan diri, mengakibatkan rasa sakit atau berlaku pendarahan secara berlebihan.
Pesakit juga perlu mendapatkan rawatan susulan jika berlaku pendarahan yang berterusan selepas sesuatu rawatan.
''Jika buasir anda mendatangkan rasa ketidakselesaan yang sedikit, doktor mungkin akan mencadangkan krim atau ubat sapuan.
''Bagaimanapun pesakit juga kadang kala boleh mengamalkan rawatan dengan mandian air panas di mana ia akan mengurangkan simptom-simptom buasir,'' katanya lagi.
Sementara itu, Himalaya Herbal Healthcare memperkenalkan salap pilex, pilihan bukan steroidal untuk menguruskan buasir.
Ia membantu mengecilkan buasir, mengawal pendarahan dan mempercepat proses penyembuhan pada kulit yang radang dan membran mukus.
Tindakan analgesia tempatan salap pilex juga mampu mengurangkan kesakitan dan memudahkan pembuangan najis.
Disarankan agar menggunakannya dengan kombinasi triphala (kapsul) yang juga membantu penghadaman dan melegakan sembelit.
Secara tidak langsung ia akan menjadikan sistem penghadaman yang tetap dan membantu melegakan buasir.
Kedua-dua pilex dan triphala boleh didapati di Butik Himalaya dan farmasi terkemuka pada harga promosi RM58.
No comments:
Post a Comment